PapiMami

Tuesday, August 30, 2005

Erti Kemerdekaan

Apakah erti kemerdekaan bagi saya?

Semasa kecil, Hari Merdeka bermaksud cuti dan perbarisan. Pada masa itu, saya masih lagi bersekolah, dan hari cuti adalah hari merdeka! Tidak perlu bangun awal, tidak perlu siapkan kerja rumah, tidak perlu gosok baju sekolah.

Tetapi, seingat saya, Pa-lah yang paling teruja bila tiba Hari Merdeka. Sebab dia tidak berkerja, dia memang suka untuk meraikannya bersama keluarganya. Pada malam sebelum Hari Merdeka, dia akan merancang untuk membawa saya, adik saya dan Ma ke Dataran Merdeka. Masa itu, saya kecil lagi, manalah tahu semua itu. Orang besar kata pergi, pergilah. Sampai dekat Dataran Merdeka, ramai orang. Semuanya tinggi tinggi. Tak ada 'countdown', tak ada konsert, tak ada VIP, tak ada Siti Norhaliza, yang ada cuma rakyat biasa.

Semuanya akan tertumpu pada Menara Jam. Tapi jam ini pelik sikit. Dia tak ada jari saat, yang ada jari jam dan jari minit. Jadi bila dah sampai jam dua belas tengah malam, semua orang tak tahu, sebab jari jam dan jari minit dekat sangat. Jadi, dia orang buat 'countdown' sendiri-lah. "Lima...Empat....Tiga....Dua....Satu!!! Merdeka!! Merdeka!!! Merdeka!!!!". Semua orang bersorak!! Yang mengelikan hati, selepas mereka bersorak, baru jam itu berbunyi loceng menandakan waktu tepat dua belas malam. Hahaha... semua orang akan ketawa. Rupa-rupanya kami telah terawal.

Keesokan paginya, Pa akan mengejutkan kami lebih awal. Ingatkan cuti tak perlu bangun awal, hmm..jangan harap. Pagi pagi lagi, kita perlu bersiap, hendak tengok perbarisan lah.
"Pa, kita tengok kat TV lah?", saya merungut.
"Setahun sekali, Pa bawa awak tengok kereta kebal, ya?"

Jadi, kena bangun awal awal, supaya dapat duduk dekat depan sekali. Tapi kami tak pergi ke Dataran Merdeka. Kami sekeluarga akan ke jalan yang akan dilalui oleh perbarisan. Yang paling saya suka adalah tarian naga, kereta askar, chingay. Yang paling tak suka, band band sekolah. Bising sangat. DUM! DUM! TUM!!!!

Bila dah besar, baru saya sedar, Kemerdekaan bukan hanya sekadar cuti dan perbarisan. Bukan hanya sekadar memasang bendera-bendera kecil diatas kereta dan motosikal. Bukan hanya sekadar menyanyi NegaraKu beramai-ramai di Tol gate. Dan semestinya, bukan hanya sekadar dapat membayar saman lalulintas pada diskaun 50 peratus. Tapi Kermerdekaan bermaksud kita dapat menjalani hidup sebagai seorang yang merdeka, di dalam negara kita yang aman dan damai, bersama sama di dalam masyarakat yang berbilang kaum. Saling faham memahami dan saling bertolak ansur. Tiada orang luar yang boleh mengongkong kehidupan kita, memberitahu kita apa yang boleh dibuat, apa yang patut dibuat dan apa yang hendak dibuat. Kita boleh buat keputusan itu sendiri.

Selamat Hari Kemerdekaan ke 48, Malaysia.